Wednesday, February 1, 2017

Perjalanan di China - Bab 1 : Permulaan yang sukar.




Setelah hampir 2 bulan duduk di rumah dan tidak mengayuh basikal akhirnya trip besar yang dinanti tiba. August 2016 saya berangkat ke China. Misi kali ini untuk mengayuh basikal merah dari China ke Turkey. Bunyinya macam senang dan mampu dilakukan kerana saya yakin pengalaman mengayuh basikal pertama kali di New Zealand selama 2 bulan setengah sudah cukup.


Entah kenapa trip kali ini agak berat rasanya. Bukan berat dari segi jauhnya km yang perlu di kayuh tapi berat dari segi hati. Berat nak meninggalkan keluarga terutamanya mak saya. Mungkin kerana trip sebelum ini saya tahu bila saya akan pulang. Berbeza dengan trip ini yang saya sendiri tak pasti bila ianya akan tamat. Mungkin di Turkey atau entah mana negaranya nanti. 

Sunset dari flight AirAsiaX D7346

2 minggu saya berada di China masih kuat perasaan rindu pada keluarga. Perjalanan yang dalam kepala rasanya mudah menjadi sukar. Sukar dari segi perasaan, dari segi bahasa dan dari segi cuaca serta jarak.

August 2016 masih lagi summer di Xian. Begitu juga di Turpan. Perjalanan 32jam dengan train dari Xian ke Turpan terasa berat. Hati saya jadi ragu-ragu sama ada apa yang saya buat ini betul atau tidak. Adakah saya benar-benar bersedia? Dan saya menjadi bertambah rindu pada keluarga. 

Merokok membahayakan kesihatan. pemandangan biasa dalam train Xian menuju Turpan.



Hari pertama mengayuh dari Turpan ke Toksun yang berjarak sekitar 40km agak perit kerana panas yang amat. Suhu sekitar 40C dengan melalui kawasan jalan yang tidak rata dan berbatu. Di kiri kanan jalan hanya padang rumput yang tandus. Sesekali saya memasuki kawasan kampung dan saya terus melulu mendapatkan peti ais untuk membeli air sejuk. Bukan sebotol tapi tiga botol. Hanya 20km berkayuh saya udah menghabiskan 1L air mineral saya. Air mineral yang di letak di basikal ikut sekali terasa panas. Panas yang membahang. 

Berdebu habaq hang

Azab jugak jalan macam ni

Stesen minyak tempat saya top up petrol untuk stove.

Jam tengah hari saya berhenti tidur di sebuah kebun. Terasa nak berkhemah sahaja di situ tetapi laluan agak busy dengan motor dan basikal yang lalu lalang. Setelah 2 jam berehat saya meneruskan perjalanan ke pekan Toksun. Di sini saya berhenti rehat di sebuah restoran sebuah keluarga muslim Uighur. Ya di wilayah Xinjiang, China penduduknya terdiri daripada Mulim Uighur dan Cina  Han. Walaupun banyak cerita negative yang saya dengar tentang wilayah Xinjiang ini tapi bagi saya tak kenal maka tak cinta, dan “less you know is better”.



Waktu saya sampai ke kedai makan keluarga Uighur sekitar jam 3pm. Rupanya mereka dah bersiap untuk tutup kedai. Tapi kerana melihat saya yang agak ‘kebulur’ mereka menjemput saya masuk dengan senyuman. Apa yang tinggal hanya pau yang berinti daging tapi saya melihat di meja sebelah ada semangkuk mee yang sudah kembang. Saya bertanya jika saya boleh mendapatkan mee itu dan tuan kedai terus memberikan mee itu pada saya. Rasa bersalah pulak mintak mungkin untuk orang lain tapi disebabkan sudah lapar maka saya makan dengan lahapnya. Selepas itu tuan kedai datang dengan membawa 3 biji pau berinti daging untuk saya. Katanya free maka saya pun makan dengan seleranya. Tiba waktu untuk membayar kata tuan kedai tidak perlu. Terharu saya waktu itu. Sempat dibekal dengan air the panas dan pau sebelum meneruskan perjalanan. 

Keluarga muslim Uighur di Toksun



Cerita kebaikan masyarakat Uighur tidak berakhir di situ. Sewaktu saya hendak kayuh keluar dari Bandar Toksun saya disapa oleh seorang gadis Uighur yang menaiki motorsikal. Dia berhenti di sebelah saya dan bertanya sama ada saya sudah makan atau tidak. Saya hanya menganguk dan menunjukkan bungkusan pau yang diberikan oleh tuan kedai sebentar tadi. Dia hanya tersenyum dan berlalu pergi. Disebabkan saya akan memasuki highway G30 di mana jarak untuk ke kedai seterusnya adalah jauh maka saya berhenti di sebuah kedai untuk membeli sedikit bekalan makanan. Sewaktu sedang memilih barang gadis tadi masuk ke dalam kedai dan mengambil beberapa makanan dan minuman. Setelah membayar dia terus memberikan bungkusan berisi makanan dan minuman itu kepada saya. Terkejut juga saya dibuat. Dia mengucapkan tahniah kepada saya dan mendoakan agar saya selamat sampai ke destinasi seterusnya.

Hebat betul pengalaman pertama saya dengan hospitality masyarakat Uighur di Xinjiang ini. Terasa sayu pulak dalam hati sebab selama dekat Malaysia agak berkira dengan rezeki yang saya ada. Travelling kadang-kadang mengajar kita akan perkara yang kita terlepas pandang.



Keluar dari pekan Toksun dan menuju ke highway G30 bukanlah perkara yang best. Berkayuh di laluan highwy G30 juga agak menekan perasaan dengan kiri dan kanan jalan hanya padang pasir yang luas terbentang dan di hujungnya kelihatan samar-samar banjaran gunung Tian Shan. Kereta bergerak agak laju dan menjadi semakin bosan dengan banyak truck dan bas yang melepasi saya. Rasanya tidak aman. Sunyi dan kosong dan panas. Beberapa km mengayuh saya sampai ke stesen minyak dan beberapa restoren besar. Saya duduk berehat dan beberapa pemandu truck menegur saya. Ada yang kagum melihat saya dan basikal merah. Ramai juga yang menggeleng kepala. Waktu itu jam 5pm dan saya merasa lelah yang sangat. Rasa putus asa mula menjalar dalam diri saya. Rasa kecewa pun ada. Saya jadi marah pada panas dan pada jalan yang sangat lurus dan kontang. “Kenapa tak sama macam New Zealand”. Getus saya di dalam hati.

Walaupun jam menunjukkan 6 petang tapi panasnya masih membahang. Saya membasahkan tuala dan mengikat pada kepala. Tak tertanggung rasanya nak menerukan kayuhan. Kalau merujuk pada penanda meter saya baru mengayuh sekitar 70km. target saya sehari 100km! saya perlu sampai ke Kashgar dalam masa 16 hari dan jarak Turpan-Kashgar sekitar 1400++km. Stres! Saya mula rasa tak menentu. Rasa penat dan stress buat saya menjadi serabut. Waktu ini terasa besarnya China. Jauhnya Kashgar!

Tiba-tiba saya melepasi sebuah truk yang sedang berhenti memanaskan enjin barangkali. Pemandu truk menyapa saya dan bertanya ke mana saya hendak pergi. Jawab saya Kashgar yang beribu km jauhnya. Akhirnya soalan yang saya tunggu-tunggu sama ada saya hendak menumpang truk beliau sehingga Aksu atau tidak. Tawaran ini rasanya macam emas bergolek-golek dari langit jatuh ke depan mata. Bodoh gila kalau tak kutip. Dan saya yang mula agak ragu terus bersetuju. Masa tu saya dah rasa serabut sangat.

Dan akhirnya saya sampai ke Aksu pada ke esokkan hari. Driver truk menurunkan saya di sebelah highway sebelum Aksu. Katanya 40km lagi nak sampai Aksu. Saya tiada pilihan kerana waktu itu sudah jam 6 petang jadi saya terus mencari spot untuk berkhemah di sebelah highway. Masalah utama nak berkhemah di sebelah highway G30 ialah sepanjang highway ini ada pagar. Pelik bila difikirkan kenapa ada pagar di sepanjang highway sedangkan sekitarnya adalah padang pasir yang luas. 


 Basikal merah yang cekal. truk 20 tayar pun dia dah bedal

sunrise dari seberang highway

Malam itu merupakan malam pertama saya tidur khemah di sebelah highway. Tengah malam saya terjaga dengan soalan yang menerpa minda. “macam mana kalau ada truk terlajak dari jalan dan jatuh menimpa khemah saya.” Sambil menelan air liur saya kembali memejam mata. 

11 comments :

  1. Pengalaman yg berharga. Sy mohon share

    ReplyDelete
  2. Keep it up! Suka baca cerita you :))

    ReplyDelete
  3. Tahniah VB. Seronok dan mendebarkan.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kongsi pengalaman yang tak ternilai. Memang seronok di baca.All the best. Teruskan...

    ReplyDelete
  5. Nk tya..knapa utk motosikal mlepasi sempadan china x-dbenarkan? @ org sja2 reka crita ni? Bleh bg guide x utk touring ke china dr malaysia?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh je naik motor dekat china cuma kena amik tour guide kalau tak silap saya tak blh travel independent. Blh rujuk the wandering vespa sebab dia travel by bike rasanya dia blh advice sop utk travel dengan motorbike hehe

      Delete