Saturday, February 18, 2017

Perjalanan di Kyrgyzstan – Bab 5: Kita belajar sesuatu dalam setiap pengembaraan.




“Hidup adalah soal keberanian,
Menghadapi yang tanda tanya
Tanpa kita bisa mengerti, tanpa kita bisa menawar
Terimalah, dan hadapilah.” Soe Hok Gie.

Antara bait-bait dari puisi Mandalawangi dari Soe Hok Gie.

Saya adalah manusia yang lebih senang berada di hutan dan gunung daripada terperangkap dalam kebisingan bandar. Saya lebih senang memerhati awan yang berarak dan melihat burung yang terbang berbanding menunggu lampu isyarat bertukar hijau atau menunggu train yang seterusnya datang. 


Berada di Ala Kol Lake membuatkan saya seolah-olah hidup dalam nyamannya ciptaan Tuhan. Saya rasa bebas dan tenang dalam dakapan alam. Membuka zip khemah dan melihat air tasik yang biru serta kawah gunung yang gah adalah satu nikmat yang sangat istimewa. Rutin setiap pagi bersarapan dengan air nescafe panas dan roti sambil melangut melihat kebesaran Ilahi. Lama saya melayan perasaan di hadapan khemah, ada rasa mahu tinggal satu malam lagi di sini tetapi niat itu mati bila tiba-tiba saya melihat ada awan hitam yang berarak menghampiri. Waktu itu sekitar jam 10 pagi. Saya mengambil keputusan untuk cross high pass 3900m hari ini juga. Tidak mahu menanggung risiko tinggal di tempat tinggi waktu cuaca nampak semakin tidak baik.

Saya mengemas khemah dan menyambung kembali perjalanan menuju ke high pass. Laluan agak curam, sempit dan berpasir. Rasa gayat dalam diri membuatkan saya melangkah perlahan dan lebih berhati-hati. Kadang-kadang angin kuat datang menerpa dan terasa macam mahu melayang, cepat-cepat saya mencangkung untuk mendapatkan keseimbangan.


Semakin saya bergerak semakin luas pemandangan Ala Kul lake. Nampak sungguh cantik sekali tapi makin gerun apabila dari jauh saya melihat awan hitam semakin menghampiri. Dalam saya bergerak ke hadapan sayup-sayup saya terlihat kelibat manusia tidak jauh di belakang saya. Sewaktu berhenti rehat sebelum 300m terakhir mendaki ke high pass saya terserempak dengan kelibat manusia itu. Rupanya couple dari Poland yang mula mendaki semalam. Mereka berkhemah di shelter sebelum Ala Kol Lake. Rasanya saya pernah jumpa mereka kerana mereka juga menginap di Nice Hostel.

Langkah mereka agak laju jadi mereka naik ke pass dahulu. Saya hanya menyusur dari belakang. Sewaktu mendaki di 300m terakhir ribut mula datang membawa salji. Langit yang tadi biru bertukar menjadi kelabu. Cepat-cepat saya naik ke high pass kerana mahu turun cepat tidak mahu terperangkap dalam rebut salji di ketinggian 3900m.

Sampai di puncak saya terkejut kerana keadaan amat sempit dan trek turun ke bawah sangat curam dan berpasir. Kesimpulannya amat sukar berdiri dan berjalan turun melainkan hanya menggelongsor. Couple Poland meninggalkan saya jauh ke hadapan dan salji mula turun dengan sangat lebat. Waktu mengelongsor turun saya cuba memastikan tidak ada batu besar yang ikut jatuh mengelongsor, bimbang akan mencederakan orang di bawah.

Langit hitam, angin kuat dan salji turun dengan lebat. Saya mula merasa kesejukan dan cepat-cepat mengeluarkan windbreaker yang juga baju hujan dan glove bagi memastikan badan sentiasa hangat. Saya melajukan langkah meninggalkan awan hitam. Makin menjauh suasana kembali tenang. Begitulah di gunung terutama bila berada di puncak suasana boleh berubah bila-bila masa. Mujurlah saya ambil keputusan untuk cross high pass hari ini jika tidak tak tahulah macam mana gayanya duduk seorang atas gunung dengan cuaca yang buruk.

Perjalanan turun ke Asahan Valley menyusur anak sungai. Dari keadaan berbatu bertukar menjadi hijau. Hamparan padang rumput yang hijau kelihatan sangat luas dan menyenangkan. Ada satu ketika perlu cross anak sungai payah juga nak mencari bahagian yang cetik kerana arus agak deras.




Trek juga melalui kawasan berpokok oak yang tinggi dan kelihatan beberapa batang pokok yang ditebang Cuma tidak nampak si penebang. Barangkali ditinggalkan. Semakin turun ke bawah cuaca semakin baik, salji bertukar menjadi gerimis hujan perlahan-perlahan hilang dan diganti dengan hangatnya sinar mentari. Saya berhenti seketika sambil makan biskut dan berfikir samada mahu meneruskan langkah ke Asahan Valley atau camping satu malam lagi di hutan. Jika ke Asahan Valley sudah tentu saya perlu membayar serba serbi, berbeza di hutan semuanya free. Dan akhirnya saya mengambil keputusan camping sahaja di hutan dikeliling pohon oak dan mengadap banjaran gunung. Nyaman dan tenang, jauh ke bawah dapat dilihat aliran sungai yang hijau dan diseberang sungai beberapa buah rumah kecil yang nampak sunyi. Cuma kadang-kadang terdengar salakan anjing.

Saya jadi penat malas mahu masak spageti dengan pes tomato yang tak berperisa, hanya roti dan biskut menjadi alas perut malam itu. Namun suasana tenang rupanya tak sampai ke pagi bila tiba-tiba angin kuat datang menerpa. Mujur khemah di pasang dengan kukuh maka hanya bergegar sahaja. Saya berselubung dalam sleeping bag bila mendengar hujan turun dengan lebat. Berdoa agar air tidak mendak di kawasan khemah saya. Tiba-tiba kilat memancar dan guruh kuat kedengaran! Buat pertama kalinya saya merasa takut yang sangat, setiap kali kilat menyambar khemah saya bercahaya dan saya menyembunyikan muka dalam sleeping bag sambil memegang erat sleeping bag. Dan tiap kali guruh datang saya jadi kecut perut. Susah nak menahan mata dari mahu menangis saat itu, dan sukar menahan hati dari menjerit memanggil nama ibu setiap kali kilat memancar. Saya diterjah andaian yang bermacam.

“Macam mana kalau khemah kena panahan kilat?”, “Macam mana kalau saya mati ada orang jumpa tak?”, “Adakah saya akan mati kena panahan kilat?”. Disebabkan takut punya pasal sampai handphone pun saya offkan bimbang disambar petir. Saya rasa location khemah saya selamat, terletak jauh dari pokok besar dan saya bukan objek paling menyerlah di situ. Terasa kurangnya ilmu berkhemah terutama bila berhadapan dengan situasi begini. Saya jadi tak bermaya! Hanya bacaan al-fatihah yang mengiringi tidur saya, berulang-ulang. Dulu masa kecil mama kata kalau kilat dan guruh baca al-fatihah. Mama! Bisik hati yang menjerit ketakutan!

Saya tertidur dalam ketakutan, saat mata terbuka jam masih menunjukkan pukul 2 pagi. Lambatnya waktu berjalan. Masih ada 4 jam sebelum matahari terbit. Masa terasa bergerak begitu perlahan. 


Bila pagi menjelma saya memanjat syukur kerana masih hidup, masih bernafas. Alhamdulillah! Saya cepat-cepat mengemas khemah dan bergerak ke Asahan Valley yang terletak lebih kurang 5km dari camping spot saya. Sewaktu menghampiri Asahan Valley hujan turun menderu. Laju saya menghayun langkah dan terus berteduh di guest house yang pertama selepas jambatan yang menyeberang sungai. Alhamdulillah saya selamat.



Disebabkan hari hujan saya tiada pilihan selain menunggu di guest house sambil memesan tea dan telur goreng. Rupanya couple Poland juga bermalam di situ jadi kami sama-sama menunggu hujan reda sebelum menyambung perjalanan keluar dari Karakol National Park dan pulang ke Nice Hostel. Sewaktu sedang menunggu tiba-tiba datang satu lagi couple yang hendak trekking ke Ala Kol Pass, tapi disebabkan cuaca buruk mereka terpaksa menunggu dahulu. Yang mengejutkan couple itu adalah Linda Baer! Linda adalah cyclist dari Switzealand yang pernah cycle dari Switzealand ke Malaysia. Saya bertemu Linda waktu saya menjadi volunteer di Hostel Akmal. Terkejut sangat sebab dapat jumpa Linda di Kyrgyzstan. Keciknya dunia pada mereka yang travel. Ralph pula cyclist dari German yang sekarang stuck di Kyrgyzstan kerana menunggu alat ganti folk basikalnya yang dikirim dari German ke Bishkek. Selepas ini Ralph akan ke Kuala Lumpur. Kami sempat bertukar tips tentang perjalanan di central asia.

Apabila keadaan semakin baik kami pun berpisah dan membawa haluan masing-masing. Saya meneruskan perjalanan keluar dari Asahan Valley manakala couple Poland mahu tunggu sekejap lagi. Saya bergerak dulu kerana rentak saya lebih perlahan. Saya lebih suka trekking santai-santai dan sewaktu keluar saya terserempak dengan trekker dari France yang juga hendak keluar. Beliau trekking bersama dengan ibunya yang datang melawat beliau di Kyrgyzstan. Saya jadi cemburu pada beliau kerana ada yang sudi datang melawat setelah lama berpegian.




Dalam 4 jam perjalanan akhirnya tiba di jalan besar dan saya menunggu martshutka yang menghala ke bandar Karakol. Beberapa kereta sapu menhampiri dan menawarkan untuk hantar ke Karakol dengan harga yang murah. Katanya marshutka ke karakul tidak ada kerana hari sudah lewat. Namun tu hanya tactic mereka bila tiba-tiba martshutka yang dinanti datang. Terdiam sahaja driver taxi bila saya tunjukkan itu marshutka.

Waktu tiba di Nice hostel perkara pertama yang saya buat adalah mandi dan kemudian masak pasta dengan pes tomato berserta garam dan chili flakes. Puas hati! Dan lebih mengembirakan lagi bila down jacket saya sudah di terima. Kata owner hostel Suly datang menghantar dan terus mendaki ke Ala Kol Pass. Rasanya kami berjarak 2 hari antara satu sama lain. Saya tinggal 2 malam di Nice Hostel sebelum kembali semula ke Osh. Tiada jalan terus dari Karakol ke Osh melainkan saya harus pergi ke Bishkek dahulu dan kemudian ke Osh. Saya sampai di Bishkek waktu ari sudah petang dan meneruskan perjalanan ke Osh. Tak sempat sigh seing di Kota Bishkek yang merupakan ibu negara Kyrgyzstan. Saya sebenarnya sudah tak sabar untuk pulang ke Osh dan mempersiapkan diri untuk adventure yang lebih besar.
Bersama Linda dan Ralph di Nice Hostel

Ya lagi 4 hari saya sudah boleh masuk ke Tajikistan. Jadi saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke Osh dan mempersiapkan segala bekalan dan kembali ke Sary Tash dan kemudian mengayuh ke Krgysztan border dan masuk ke Tajikistan border melalui Kyzyl Art pass yang merupakan antara pass tertinggi di Pamir Highway. Masa kian suntuk jika saya berlengah masuk ke Pamir highway saya bimbang cuaca makin sejuk dan mengganggu kelancaran perjalanan saya.

September bakal berakhir di Kyrgyzstan, October yang datang akan menjadi cerita lagenda untuk saya berkayuh di Pamir Highway.berjaya atau tidak biar Tuhan tentukan. Pamir Highway sebuah lagenda untuk masa hadapan.

3 comments :

  1. Chapter yg paling thrill setakat ni. Tgk gambar pun dah kecut.

    ReplyDelete
  2. Vb pun dah jadi lagenda muslimah cyclist! All the best!

    ReplyDelete
  3. Vb kalau nk terbitkan buku.. Saya nk jd part of it... Mna tau sy blh bljr sst dr you especially fokus and planning.. Seriously let me know... Tq

    ReplyDelete