Thursday, February 2, 2017

Perjalanan di China – Bab 2: Mencari inspirasi yang hilang





Setelah ditinggalkan truck dan berkhemah di sebelah highway maka pagi hari ketiga pun tiba. Hari itu saya bangun dengan penuh semangat. Saya sudah short cut atau cheat sejauh 700km dari Toksun ke Aksu. Maka saya hanya perlu kayuh basikal sejauh 700km lagi untuk sampai ke Kashgar dan saya punya 13 hari. Kalau diikut pada purata sehari 80km pun sudah cukup untuk sampai ke Kashgar dalam masa 10 hari dan balance 3 hari untuk berjimba. Yer saya lebih tenang maka saya boleh kayuh basikal rilek-rileks dan sampai ke Kashgar 10 hari lagi. 


Hari itu saya kayuh basikal dengan sangat happy. sehingga jam 6pm saya masih mengayuh basikal dan kemudian saya mula mencari tempat untuk camping. Di hadapan saya ada susur keluar ke sebuah kampung. Cadang saya untuk mencari spot camping di sekitar kampung. Highway G30 semakin sempit dan pagar semakin mendekat dengan jalan dan agak mustahil untuk saya mendirikan khemah tanpa di lihat oleh orang. 

 Tak faham betul dekat tengah padang pasir pun nak berpagar highwaynya. yang hujung sana tu landasan keretapi tengah angkut kereta kebal dan truk tentera.

Sekitar satu jam jugak saya mengayuh di kawasan kampung. Pandangan mereka agak pelik melihat saya yang berbasikal dengan beg yang bertimbun. Saya diserang perasaan curiga dan ragu. Saya jadi takut dengan pandangan lelaki yang bermotor yang asyik berulang alik melepasi saya. Saya rasa tak selamat untuk berkhemah di situ sehingga saya mengambil keputusan untuk keluar dari kampung dan kembali ke highway G30. Waktu itu jam menunjukkan 7 malam dan hari semakin gelap. Rasa sejuk mula menyerang saya. Malas hendak mengeluarkan baju sejuk menyebabkan saya diserang dingin yang amat. Summer di China umpama panas di siang hari dan sangat sejuk di malam hari.

Akhirnya saya melihat ada pagar yang digunting mungkin kerja penduduk tempatan sebagai jalan short cut ke kampung mereka. Gigih juga saya mengharung basikal dengan panier nak lepas pagar yang bergunting separuh tu. Saya terus menolak basikal di tengah padang pasir. Jalan yang berpasir dan berdebu agak menyukarkan sehingga saya terpaksa berulang 2 kali ke spot camping. Mula-mula saya mengangkut bag dan kemudian menolak basikal. 


Camping dekat tengah padang pasir lepas mengharung pagar yang dipotong orang. hujung sana landasan keretapi


Waktu saya mendirikan khemah hari sudah gelap. Hanya cahaya dari kereta yang lalu lalang sahaja yang menyuluh saya samar-samar. Mujur khemah saya jenis ‘self stand up’ menyebabkan kurang dari 5 minit khemah sudah siap berdiri dan bag semua sudah masuk ke dalam khemah. Saya mengunci tayar belakang basikal pada kaki khemah. Menyukarkan jika ada pencuri yang cuba mengambil basikal saya dan mengejutkan saya akan kedatangan mereka.

Disebabkan hari sudah lewat dan saya kepenatan kerana sudah hampir mengayuh sekitar 120km saya terus bentang sleeping bag dan memejam mata. Walaupun perut terasa lapar tapi saya terlalu penat untuk memasak. Hendak mengeluarkan roti pun terasa malas yang amat. Masa ni terasa untung betul kalau ada travel partner. Boleh mintak tolong suapkan.

Rasanya dalam jam 3pagi saya terjaga apabila terdengar seperti ada orang sedang berjalan di luar khemah. Rasa ingin tahu menghentak tangkai hati. Perasaan takut ada dan untuk meredakan rasa takut itu saya perlu memastikan betul ada orang di luar atau tidak. Mula-mula saya menghidupkan head lamp dan terus berteriak “siapa tu”. Dah lah dalam bahasa melayu, tergelak sendiri saya dibuatnya. Kemudian saya menjerit perlahan “tourist-tourist”. Tidak ada sahutan. Hati masih dihantui perasaan ingin tahu. Saya tak mungkin boleh sambung tidur jika tidak dapat memastikan sama ada situasi betul-betul selamat atau tidak.

Dengan berat hati saya membuka zip khemah dan menyuluh di kiri kanan khemah. Tak ada apa-apa. Semuanya Nampak tenang. Masih rasa tidak puas hati saya keluar dari khemah. Sah tak ada apa-apa mungkin perasaan saya sahaja. Sebelum masuk ke dalam khemah saya mendongok ke langit dan mulut saya tergamam.

SubhanaAllah cantiknya langit dengan taburan bintang dan milky way. Saya duduk di pintu khemah dan menghayati keindahan malam. Hilang terus rasa takut sebaliknya rasa kagum mula menguasai diri. Bila dingin mula menyerang kembali barulah saya masuk ke dalam khemah.

Orang selalu tanya saya tak takut ke camping seorang. Tipulah kalau saya kata saya tak takut. Saya ni manusia biasa aje. Cuma saya selalu dapatkan nasihat dari kawan-kawan travelling yang selalu berkhemah bagaimana untuk memilih camping spot. Antaranya biarlah jauh dari laluan utama. Jauh tu sekitar 100m dari laluan utama. Selain itu haruslah terlindung daripada pandangan orang. Bagi saya kalau tak ada manusia yang tahu saya camping di situ lebih baik sebab manusia ni kita tak dapat baca hatinya. Selain itu saya juga percaya dengan gerak hati saya. Kalau saya rasa tak safe dengan tempat itu saya tak akan berkhemah di situ. Selebihnya doa dan tawakal kepada Tuhan agar sentiasa dalam lindungannya dan dihijabkan dari pandangan manusia yang berniat jahat.

 Pemandangan sunset dari highway G30

Esoknya saya bangun awal pagi. Semangat semalam masih ada lagi. Saya siap-siap mengemas khemah dan masih malas untuk memasak sarapan. Saya hanya makan roti dan epal berserta air putih. Lepas beberapa jam mengayuh saya mula rasa tak sedap badan. Perut saya mula berasa sakit dan hidung saya mula berair. Saya mula diserang selsema dan kepala saya menjadi semakin berat. Saya berhenti di bahu jalan yang panas membahang. Jam menunjukkan waktu 1 petang. Saya mula rasa penat dan dalam hati saya diserang rasa kecewa. Saya rasa bengang dengan badan saya yang tiba-tiba jatuh sakit. Waktu itu saya mula berfikir macam-macam. Saya mula terasa seperti ada sekumpulan manusia sedang mentertawakan saya. Saya terlalu bercita-cita tinggi! Sudahlah dari Toksun ke Aksu saya hitch hike, dari aksu baru kayuh 120km dan hari ini 50km saya sudah penat, sudah jatuh sakit. Saya diserang rasa stress kembali. Melihat kiri kanan jalan yang tidak ada apa-apa membuatkan saya semakin sakit hati. Sudahnya di hadapan highway G30 ada susur keluar ke sebuah kampung. Saya keluar dari kampung dan mencari-cari pondok untuk berteduh.

Saya berteduh di sebuah gerai menjual air yang terletak di hadapan stesen minyak. Beberapa penduduk tempatan menghampiri saya dan menggeleng-geleng melihat basikal saya. Tuan kedai agak kelam kabut melihat saya yang nampak agak pucat. Dia cepat-cepat memangil isterinya membawa air suam untuk saya. Tuan kedai sangat baik hati kebetulan waktu makan tengah hari beliau mempelawa saya makan laghman yang dibuat oleh isterinya. Agak perit tekak saya untuk menerima apa-apa makanan masuk ke dalam mulut. Tapi saya cuba juga untuk menghabiskan sebagai tanda terima kasih atas pemberian tuan kedai. 

 Anak tuan kedai yang sangat comel. sempat berkongsi rezeki buah epal yang saya ada. sebelum si kakak mengambil buah epal sempat dia bertanya pada ayahnya sama ada boleh ambil atau tidak. kalau perasan seluar si adik koyak di kelangkang. sebenarnya inilah stail kanak-kanak uighur. mudah untuk mereka buang air kecil.

Tuan kedai menyarankan saya mengambil bas sahaja dari stesen minyak terus ke Kashgar. Katanya perjalanan ke Kashgar masih jauh dan cuaca sangat panas. Dari Aksu ke Kashgar tidak banyak tempat rehat dan jika ada kawasan restoren mungkin sekitar 80-90km jaraknya. Saya diserang rasa bersalah tapi pada masa yang sama badan saya memujuk saya untuk terus ke Kashgar sahaja.

Saya gagal! Itulah perasaan saya sewaktu saya naik bas dari kedai air ke Kashgar. Saya dihimpit perasaan bersalah dan kecewa. Saya rasa sangat malu sebab tak dapat menyudahkan apa yang saya plan. Kayuh basikal dari turpan ke Kashgar yang berjarak 1400++km. saya hanya berkayuh sekitar 200km dan kemudian menyerah kalah. Saya jadi malu pada semua orang sehinggalah saya tiba-tiba tersedar untuk apa saya lakukan perjalanan ini. Untuk apa saya berhenti kerja dan kemudian memilih untuk travel dengan basikal. Saya melakukan semua ini kerana perasaan cinta saya untuk melihat keadaan di negara luar. Saya melakukan semua ini untuk diri saya sendiri bukan untuk kepuasan orang lain. Jadi kenapa saya harus merasa gagal? Jika saya tidak mampu saya seharusnya mencari sebab mengapa tidak mampu dan memperbaikinya. Kepuasaan itu adalah proses bukannya result!

 Army check point sebelum memasuki Kashgar. semua yang nak masuk Kashgar kena scan id masing-masing. macam saya kena salin identiti pasport dalam satu buku khas.

Sampai di Kashgar saya mengurung diri dalam bilik dorm. Walaupun ada ramai cyclist di Old Town Kashgar hostel tapi saya memerlukan masa untuk diri sendiri. Saya perlu kembali mencari diri saya. Saya sepatutnya rasa gembira dengan basikal merah. Saya sepatutnya ketawa dan ceria sewaktu mengayuh basikal merah. Tak kira apa halangan saya akan perlahan-lahan mengharung bersama dengan basikal merah. Seperti waktu saya mengharung 2 bulan setengah di New Zealand bersama basikal merah. Perasaan benci dan takut untuk mengayuh basikal merah mula hilang. Esoknya saya keluar bilik dan membersihkan basikal merah. Saya bertemu dan berbual dengan cyclist yang ada di Old Town Kashgar Hostel dan saya ceritakan pengalaman pertama saya mengayuh basikal di China. Mereka sangat memahami dan memberi kata-kata semangat pada saya. Kata mereka perjalanan saya masih panjang, jangan stress dan fikirkan kembali apa yang buat saya gembira waktu saya mengayuh basikal merah. Cari semula inspirasi saya seperti yang selalu dikatakan oleh SK Lah. 

Bersama dengan Anne (kiri) dan Anna (kanan) keduanya dari German. Anne adalah solo cyclist yang baru habis redah Monggolia selama 2 bulan. beliau banyak kongsi pengalaman terutama safety untuk woman solo cyclist pada saya dan juga pengalaman beliau sewaktu cycle di Pamir Highway.

 Bertemu dengan 2 pengembara hitch hike dari Malaysia di Old Town Kashgar Hostel. Malaysia boleh!


Saya ada 14 hari lagi sebelum visa saya tamat dan tiba-tiba saya mendapat semangat untuk membuat satu kayuhan dari Kashgar ke Taxkorgan melalui National Highway 314 yang merupakan Karakoram Highway China side. Saya perlu mencari kembali inspirasi saya, saya perlu jatuh cinta semula dengan basikal merah. Setelah membuat keputusan itu saya terus contact Mahazizi yang baru sahaja habis mengayuh laluan yang sama Cuma beliau habisnya di Pakistan sementara saya hanya akan melakukan di China side. Saya terus meminta sebanyak mana tips dan guide yang boleh beliau berikan agar memberi sedikit sebanyak keyakinan kepada saya untuk memulakan kayuhan.

Perjalanan ke Taxkorgan akan menjadi penentu sama ada saya akan terus bersama dengan basikal merah atau membawa haluan masing-masing. 








2 comments :