Thursday, February 16, 2017

Perjalanan di Kyrgyzstan – Bab 4: Kembali pada alam.



Hampir seminggu setengah duduk jauh dari arus kemodenan dan orang yang boleh dijadikan kawan akhirnya saya sampai ke Osh. Bandar kedua terbesar selepas Bishkek. Osh dalam imaginasi saya adalah seperti kota cosmopolitan ternyata berbeza sekali.

Osh hanya bandar besar dengan keadaan traffic yang agak busy tetapi tidak seteruk bandar besar dunia yang lain. Jalan di kota agak sempit tapi masih boleh berbasikal. Terdapat banyak kereta dan semuanya berfungsi sebagai taxi. Jarang melihat penduduk tempatan menggunakan motorsikal. Sangat berbeza dengan China yang kebanyakan penduduk lebih senang menggunakan motorsikal electric.

Di Osh kebanyakan wanita berpakaian lebih moden berbanding dengan wanita di kampung. Jika di lihat cara wanita memakai skaf di desa lebih simple (ikat ke belakang dan terdedah telinga dan leher). Tapi di Osh mereka memakai tudung tak ubah seperti wanita melayu. Ada syawl dan tudung bawal. Banyak yang memakai jubah atau dress labuh bersama cardigan. Saya dan wanita tempatan kelihatan tak jauh beza. Cuma saya agak gelap berbanding mereka yang berkulit cerah.

Di Osh kebanyakan pengangkutan awam adalah taxi ataupun marshutka (van atau minibus). Martshutka dengan nombor yang pelbagai dan pergi ke seluruh pelosok tempat dengan bayaran sekitar 50sen untuk satu hala.


Banyak attraction menarik di Osh, tapi bagi saya tempat terbaik adalah TES Guesthouse. Kerana di sini ada breakfast yang sangat sedap dan pelbagai, ruang santai yang besar dan terbuka serta wifi yang laju. Dan bertambah best bila ada kawan yang boleh di ajak bersembang. Saya mula faham apa yang dikatakan oleh seorang cyclist tourer yang pernah saya jumpa di Hostel Akmal dulu. Destination baginya hanya tempat untuk berehat. Dia sudah puas sight seing sepanjang perjalanan berbasikal. Yer di TES Guesthouse saya mahu rehat sepuasnya sampailah saya bosan baru saya mula menyelak template attraction place sekitar Osh. Dan mujur saya ada kawan couple cyclist dari France, Pauline dan Roma. Mereka mengajak saya untuk ke animal market yang sangat terkenal di Osh. Disebabkan saya tidak berkesempatan ke animal market di Kashgar jadi saya ambil peluang untuk melihat sendiri bagaimana animal market di central asia.

Kami ke sana dengan menaiki martshutka. Sampai di sana kami bertemu lagi dengan couple cyclist dari France. Meriah suasana waktu tu dengan bahasa France yang saya langsung tak faham. Keadaan di Animal Market sangat meriah. Di sini haiwan seperti kuda, kambing dan lembu didagangkan. Penjual akan membawa haiwan ternakan mereka untuk di pamerkan di sini. Para pembeli akan datang dan melihat keadaan haiwan sama ada baik atau tidak. Jika mereka berminat maka aksi tawar menawar akan berlaku. Apa yang menarik mereka akan saling bersalaman untuk mencapai harga sepakat. Riuh rendah bunyinya. Kalau tidak berpuas hati si pembeli akan berlalu pergi tapi jika berlaku pembelian sungguh meriah masing-masing saling berpelukan. Akad dalam pembelian berlaku di sini. Sangat menarik untuk saya lihat kerana selama ini saya hanya mendengar sahaja.

Saya agak terkejut dengan harga binatang di sini yang agak murah berbanding di Malaysia. Seekor lembu berharga kurang dari RM1000. Lebih menarik cara mereka memindahkan haiwan ini dari animal market ke rumah mereka. Jika lembu dan kuda sudah tersedia lori kecil untuk disewa, bagi kambing mereka akan menyewa taxi dan memuatkan kambing di seat belakang. Menjerit-jerit kambing tak rela masuk ke dalam kereta. Kereta pulak jenis Lada yang kecil tu. Size seperti kereta kancil dan yang masuk 4 ekor sekaligus. Inilah central asia, semuanya tidak mustahil.

 Gigih pujuk kambing masuk kereta.

Selain animal market, tempat yang saya paling suka di Osh ialah Osh Bazar yang merupakan antara yang terbesar di Central Asia. Mungkin kerana ini bazar pertama saya jadi boleh kata setiap hari saya pergi ke Osh bazar walau sekadar jalan-jalan. Bazar di sini sangat berbeza kerana semua barang di jual secara timbang contohnya biskut, kek dan makanan kering. Yang lebih menarik kedai yang menjual biskut dan gula-gula. Semuanya terhidang atas meja tinggal pilih sahaja. Dan yang lebih best saya boleh rasa secara percuma. Siapa tak suka makanan percuma. Roti nan di Osh juga sedap berbanding di Sary Tash mungkin kerana banyak pilihan. Sayuran pelbagai dan dijual dengan harga yang murah. Memang enjoy dapat beli barang basah dan masak sendiri.

 ok ini kedai favourite saya sebab ada banyak biskut sedap yang boleh di cuba secara percuma.

 Menarik tengok manisan seperti kek yang dijual dalam kotak macam ni. kalau tak nak beli satu kotak boleh beli mengikut harga timbang.


Hampir seminggu saya lepak di Osh, saya masih punya 2 minggu sebelum boleh masuk ke Tajikistan. Jadi saya mengambil keputusan untuk ke Bishkek yang terletak hampir 551km dari Osh. Untuk ke sana saya menaiki share taxi dengan bayaran hampir RM50. Tidak ada bas atau marshutka ke sana kerana perjalanan yang panjang dan bergunung-ganang. Hampir 2 jam saya menunggu dalam kereta, tuan kereta menunggu orang yang mahu ke Bishkek juga. Mahu dipenuhkannya satu kereta. Akhirnya jam 3pm kami bertolak dari Osh. Bersyukur saya kerana dapat duduk di seat hadapan. Cuma kereta ini buatan Jepun jadi pemandu di sebelah kanan sedangkang di Kyrgyzstan pemanduan adalah disebelah kiri. Cuak saya setiap kali pemandu cuba memotong kenderaan besar di hadapan kerana saya yang dapat lihat dulu kereta dari arah berlawanan.

Di Kyrgyzstan mereka memandu dengan sangat gila, laju dan suka mencelah. Kadang-kadang pemandu memotong jalan walaupun sudah ada 2 line kereta di hadapan. Boleh sakit jantung dibuatnya. Tambah gerun bila melalui jalan bergunung dan bergaung. Memang mengucap siap-siap. Perjalanan dari Osh ke Bishkek mengambil masa hampir 10 jam. Sampai di Bishkek sudah jam 1 pagi. Saya diberhentikan di stesen bas Bishkek. Sebenarnya saya mahu ke Karakol yang terletak sekitar 300km dari Bishkek. Kalau ikut jadual marhutka ke Karakol hanya akan bermula jam 7pagi. Ini bermakna saya perlu tunggu sehingga esok hari di stesen bas. Tiba-tiba saya di datangi pemandu teksi yang hendak ke Karakol. Katanya keretanya sudah penuh dan siap untuk bergerak sekarang. Jika saya mahu ikut saya boleh membayar dengan harga discaunt. Tawaran yang sangat menarik kerana saya boleh sampai ke Karakol esok pagi dan saya dapat jimat satu malam tanpa perlu menunggu di bas station yang sejuk. Sepanjang perjalanan ke Karakol saya hanya tidur di dalam van.


Pemandu van menggunakan jalan di selatan Issykul Lake menuju ke Karakol berbeza dengan marshutka yang menggunakan jalan utara Issykul Lake. Pemandangan saat matahari terbit sangat cantik. Kebanyakan penumpang turun awal dan hanya saya sahaja yang menuju ke Karakol. Dalam van terdapat keluarga pemandu van dan isterinya meminta supaya berhenti di salah satu attraction point di Issykul lake. Dia memanggil saya mengikutnya untuk mengambil gambar. Rasa untung sangat sebab dapat pemandu van yang memahami. Kemudian perjalanan di teruskan ke Karakol. Di sepanjang perjalanan pemandu van mengambil beberapa penumpang bagi memenuhkan van dan mencari duit tambahan. Sungguh semua kereta di Kyrgyzstan ini adalah taxi. Barangkali sesiapun boleh jadi pemandu teksi.

Selatan Issykul Lake

 Antara pemandangan di Karakol

Saya sampai ke bandar Karakol pada jam 9 pagi. Terus saya mencari nice hostel yang direcomend oleh beberapa traveller. Sebenarnya di sini lebih murah kerana jika saya mendirikan khemah saya hanya perlu membayar sekitar RM10 dan saya boleh menggunakan semua facility yang ada. Sebenarnya tujuan saya meredah perjalanan yang panjang ini adalah untuk hiking ke Alakol Pass yang terletak di Karakol National Park.

 Camping bawah pokok epal. 

Saya cintakan gunung! Disebabkan sudah berada di Kyrgyzstan adalah wajib untuk saya mendaki ke Alakol Pass yang sangat fames dengan pemandangan Ala kol Lake dari high pass. Saya siap-siap membawa khemah, sleeping bag dan juga alatan memasak. Di sebabkan stove masih problem jadi saya bercadang untuk membeli satu lagi stove mini sebagai back up untuk journey saya. Mujurlah di Karakol terdapat sebuah outdoor shop dan saya dapat membeli dengan harga yang murah setelah membuat cerita sedih depan owner store (kadang-kadang saya boleh bertukar jadi drama queen).

Sehari sebelum berangkat untuk mendaki Ala Kol pass sacara solo saya mengunjungi tourist center untuk mendapatkan maklumat tentang pendakian ke Ala Kol Pass. Saya tidak perlu memaklumkan pada mereka yang saya akan mendaki solo kerana di pintu masuk National Park nanti akan ada pegawai yang  mengambil nama saya. Di tourist center saya cuba mengambil gambar peta National Park sebagai rujukan saya. Penjaga di tourist center agak terkejut apabila mengetahui yang saya akan mendaki solo. Katanya bahaya dan saya mungkin akan tersesat. Tapi melihat pada gaya beliau nampak seperti jarang mendaki, bila tiba seorang lagi pekerja yang biasa mendaki katanya laluan trek agak mudah dilihat dan sukar untuk sesat. Menambahkan keyakinan saya untuk meneruskan misi mendaki ke Ala Kol Pass (3900m).


Peta Karakol dan Ala Kol Pass. saya dah rotate gambar ni tapi setiap kali upload masuk entry dia terbalik juga.

Setelah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat saya seterusnya ke bazar untuk membeli stok makanan selama saya berada di dalam hutan. Kalau ikut perkiraan saya akan mendaki selama 4 hari 3 malam jadi saya harus mendapatkan stok makanan yang sesuai. Saya hanya membeli 2 paket spageti dan satu botol kecil pes tomato untuk di jadikan sos. Kemudian sekampit biskut dan roti. Saya turut membawa 3in1 nescafe dan uncang teh. Dan entah kenapa saya terlupa untuk membeli cili flakes dan garam.

Sebenarnya sewaktu hendak datang ke Karakol saya sudah menghubungi Suly (solo traveller dari Malaysia) yang waktu itu sedang berada di Almaty, Kazakhstan. Janji kami untuk mendaki Ala Kol bersama tapi disebabkan beliau masih di Almaty dan saya ingin pulang awal ke Osh jadi saya mendaki sendiri dahulu. Suly terbang dari Malaysia ke China lewat satu bulan dari saya. Dia juga akan ke central asia secara backpakers. Sebenarnya saya minta tolong pada Suly untuk bawakan down jacket saya yang tertinggal di Malaysia. Penting untuk saya dapatkan down jacket itu sebelum memasuki Pamir Highway. Saya beritahu pada owner guesthouse tentang Suly yang akan datang ke Nice Hostel dan meninggalkan down jacket untuk saya sewaktu ketiadaan saya. Dan mungkin boleh jadi saya akan bertemu dengan Suly sewaktu di Karakol National Park.

Esoknya awal pagi saya sudah mengemas bag. Bagpack 30L Low Alpine yang dibeli waktu di Vietnam penuh berisi bekalan makanan, baju tidur, baju sejuk, sleeping mat dan sleeping bag. Manakala khemah saya ikat pada bahagian luar bag. Satu botol air 1.5L saya bawa buat minum sepanjang pendakian. Bila habis air sungailah pengantinya.

Saya menaiki Mashutka ke pintu Karakul National Park. Sebelum masuk seorang pegawai mengambil nama saya dan saya perlu membayar yuran national park dan yuran camping. Di Karakul National Park saya boleh dirikan khemah di mana-mana asalkan saya sentiasa menjaga kebersihan tapak camping.

Keadaan sungguh sunyi dan melalui beberapa rumah penduduk tempatan. Ada beberapa kedai makan dan resort untuk pengunjung tetapi kelihatan seperti tutup. Mungkin kerana bulan September sudah berakhir musim mendaki disebabkan cuaca yang makin sejuk. Saya terserempak dengan beberapa ekor kuda yang sedang memagut rumput yang dikawal oleh anjing yang terbaring malas. Mujurlah mereka malas jika tidak mahu bertempiaran saya lari sambil menjerit sakan!


Perjalanan agak mendatar dan menyusur sungai yang sangat jernih. Banjaran gunung masih kelihatan jauh dan sekeliling masih lagi hijau dengan pohok oak dan pelbagai. Sesekali saya berhenti melepaskan lelah di batu besar sebelah jalan sambil menghayati ciptaan Tuhan yang indah ini. Suasana riuh dengan bunyi deruan angin mengena pokok, bunyi deru air sungai dan sesekali bunyi dahan jatuh. Semuanya terasa indah dan saya terkenang kata-kata Geert di mana dia tidak pernah merasa sunyi waktu berada di hutan dan gunung walaupun sendiri. Tapi selalu merasa sunyi waktu di bandar walaupun dikelilingi ramai orang. Ya saya mengerti! Waktu di Nice Hostel walaupun terdapat ramai traveller tapi saya rasa sunyi. Masing-masing dengan hal sendiri. Berbeza di hutan saya rasa nyaman dan dikelilingi dengan makhluk Tuhan yang luhur ini.

Saya meneruskan perjalanan dan keadaan semakin mendaki dan disebabkan hari makin malam saya mencari tempat untuk mendirikan khemah. Tanah lapang di sebelah sungai dengan pemandangan gunung yang sangat indah. Hari sangat baik insyaAllah air sungai tidak akan naik dan saya putuskan untuk berkhemah di situ. Saya memasak spageti dan makan dengan pes tomato tanpa garam dan cili flakes dan rasanya sangat tak sedap. Rasa menyesal sebab tak bawak garam dan cili flakes. Tapi disebabkan lapar habis juga saya telan. Kemudian makan biskut cecah air the sambil menanti hari malam.


Hari kedua saya bermula agak lewat, macam mana tak lewat siap layan kopi dengan roti tepi sungai sambil layan feeling. Suasana cantik macam ni tak datang selalu dalam hidup jadi harus digunakan sebaik mungkin. Selepas mengemas khemah dan packing semua barang saya menuju ke jambatan yang merentas sungai yang akan membawa saya ke kaki Ala Kol Pass. Sewaktu trekking saya terserempak dengan seorang trekker dari Serbia yang baru turun dari Ala Kol Pass, dia akan keluar dari National Park hari ini. Sempat bertukar cerita sebelum kami masing-masing membawa haluan.

Sampai di jambatan merentas sungai saya berhenti rehat dan menunggu-nunggu jika ada trekker lain yang akan saya jumpa, tapi tiada dan kemudian saya kembali menyambung perjalanan. Waktu itu menunjukkan jam 12 tengah hari. sebenarnya saya tak bercadang untuk ke Ala Kol pass hari ini sebaliknya berkhemah di mana-mana tapi entah kenapa sewaktu mendaki dan terlihat puncak hati saya seolah-olah dipanggil untuk melihat apa yang ada di atas sana. Sudahnya saya gagahkan juga mendaki sampai ke puncak.

Perjalanan selepas jambatan semakin mendaki tetapi laluannya masih trek yang baik dengan pokok di kiri kanan jalan. Namun bila sudah setengah jalan tiada lagu pokok besar sebaliknya hanya pokok renek dan laluan semakin berbatu. Ada satu bahagian batunya besar-besar dan saya perlu memanjat batu-batu itu. Agak sukar mencari trek waktu mendaki batu besar ini mujurlah trekker sebelum menanda jalan dengan susunan batu berbentuk tower. Tapi kadang-kadang saya terkeluar juga dari trek dan puas memanjat batu lain untuk kembali ke trek.

 
Di pertengahan mendaki ada satu shelter untuk camping. Tapi disebabkan view yang terlindung dan hari masih awal saya teruskan lagi pendakian. Hati memberontak untuk sampai ke atas walaupun badan dah terasa penat. 1km terakhir trek sangat curam dan laluan berpasir serta mudah tergelincir. Mujurlah kasut saya jenis hiking dan punya grip yang bagus membantu saya untuk mendaki di laluan berpasir. Agak gayat juga sebenarnya bila mendaki di trek pasir yang curam dan bersebelahan dengan air sungai yang agak deras. Tapi setiap kali mendongak ke atas dan melihat puncak yang makin hampir saya jadi semangat untuk teruskan. “apa yang ada disebalik sana?” soalan itu kian menerjah hati saya dan kaki membawa saya ke sana untuk melihatnya sendiri.

Hampir jam 6 petang akhirnya saya sampai ke atas. SubhanAllah! Dari atas saya dapat melihat Ala Kol Lake. Warna airnya biru dan dikelilingi gunung berbentuk seperti kawah. Pendakian yang berbaloi. Saya mendirikan khemah berhadapan dengan pemandangan Ala Kol Lake yang indah.

Bila malam angin bertiup agak kuat dan suasana sangat sejuk. Jadi saya hanya duduk di dalam khemah sambil membuat catatan dan membaca mesej dari handphone. Kebiasaan yang indah bagi saya.

Mendaki seorang di Karakol National Park sehingga ke Ala Kol Lake boleh dilakukan secara solo tetapi anda perlu punya pengalaman trekking dan hiking. Perlu ada rasa berani tetapi perlu juga bijak membuat keputusan. Route sebelum Ala Kol Pass agak curam dan jika tidak kena gaya ada peluang untuk jatuh atau tergelincir. Nauzubillahminzalik. Jika tiada keyakinan atau first timer rasanya lebih elok pergi berteman atau ambil guide. Bulan September laluan ini agak sunyi saya hanya jumpa satu orang sahaja waktu mendaki ke Ala Kol Lake. Tapi jika musim summer rasanya lebih meriah trek ini.
Berada di Ala Kol Lake mengingatkan saya pada Rinjani, pemandangannya cukup indah dan keadaannya cukup bersih. Ada burung yang berterbangan dan bunyi deru angina dan air yang mengalir sangat mendamaikan. Tapi perjalanan ini masih belum terhenti, saya masih ada 2 hari lagi untuk hike ke Ala Kol Pass yang sebenar (3900m) dan kemudian turun ke Arashan Valley dan kemudian kembali ke Karakol. Perjalanan masih panjang dan hari tak selalunya cerah. Di gunung pagi hari boleh jadi tenang tapi bila petang ke malam ribut boleh datang. Dan perjalanan turun ke Arashan valley tidak semudah yang saya sangka. dan lebih malang lagi saya perlu meneruskan hari dengan spageti dan pes tomato yang tak berperisa apa.
Tapi ini lebih baik daripada makan mee keras berendam air sejuk sewaktu di Lenin Peak Base Camp (waktu stove saya rosak- cerita ni simpan untuk buku hehe)

Life must go on! Cerita masih panjang!

5 comments :

  1. Dengan muka tak malunya; kalau perlu khidmat editing dan layout buku, boleh hubungi saya (hafizhilmi@gmail.com). Kalau nak tengok sampel layout yang dah siap pun boleh.

    ReplyDelete
  2. Kisah perjalanan violet biru tambah seru...suka suka

    ReplyDelete
  3. Awk ke yang bagitau pemandu teksi tu, depan clear @ tidak.

    "Ok, clear bang clear"

    ReplyDelete