Monday, February 13, 2017

Perjalanan di Kyrgyzstan – Bab 3: Bezanya hanya cepat atau lambat.



Macam manalah boleh sesat? Planning tak betul atau saya yang tak pandai baca map? Bebel saya dalam hati sambil mengemas khemah.


Saya bangun pagi setelah mendapat tidur yang lena. Semalam saya rasa agak serabut tapi pagi ini saya lebih tenang. Sempat saya membancuh teh dengan menggunakan air botol terakhir. Hari ini saya akan meneruskan perjalanan ke Lenin Peak Base Camp. Kalau mengikut GPS ada 6km lagi tapi kena ikut jalan yang kita akan redah sendiri. Jalan kuda barangkali bukannya jalan untuk kereta. Argh kuda dengan basikal lebih kurang sahaja.

Pagi ini mental saya lebih positif. Walaupun semalam saya rasa takut, hari ini saya banyakkan tersenyum dan berkata pada diri sesat ini adalah perkara biasa tapi jangan selalu sangat. Kita belajar dari kesilapan, manusia mana yang tak pernah buat silap. “Kemon vb!” teriak saya dalam hati.



Tak tahulah macam mana saya dapat idea nak baca map dan cari jalan ke laluan asal ke Lenin Peak base camp tapi kata orang bila dah terdesak ni memang mencurah-curah idea. Cuma agak sukar jugak perjalanan saya kerana saya perlu mengharung bukit-bukit kecil. Kalau dilihat sekali imbas dan macam chocolate mountain di Filipina. Dulu memang saya pasang angan nak ke sana, bila dah nampak dan harung dengan basikal di Kyrgyzstan ni terus hilang bucketlist tu. Waktu tengah menolak basikal tiba-tiba nampak segerombolan kuda yang sedang memagut rumput di atas satu bukit. Mereka hanya memerhati saya dengan tajam. Cuak juga saya di buatnya tapi nak tak nak terpaksalah buat-buat macho dan jalan ke depan.



Selepas 2 jam akhirnya saya keluar dari jalan berbukit dan sayup-sayup saya nampak deretan kabel electric. Ya itulah laluan sebenar ke Lenin Peak! Dan dari jauh saya nampak sebatang anak sungai yang mengalir. Saya harus cross anak sungai ini dan kemudian masuk ke laluan utama. Sempat saya berhenti mengisi air botol. Kata orang air sungai di Kyrgyzstan ni selamat di minum tapi saya tidak mahu tanggung sebarang risiko, selalunya saya akan masak dahulu kemudian baru minum. Paling tidak saya akan filter. Saya tidak gemar menggunakan pil untuk menjernihkan air. Saya tak selesa dengan bahan kimia sebenarnya.




Alhamdulillah saya kembali ke jalan yang benar. Tapi kalau mengikut GPS masih berbaki 3km lagi. Saya kini masuk ke kawasan berbukit dan menyusur anak sungai. Banjaran gunung salji terlindung dari pandangan dan saya tiba di sebuah rumah usang yang merupakan rumah peladang. Kosong tiada orang dan saya meneruskan perjalanan. Kali ini lebih mencanak jalannya dan lebih sukar lagi bila jalan sangat berbatu. Hampir sejam saya mengayuh akhirnya saya melihat satu batu yang bertanda paras ketinggian dan tunjuk arah ke tasik. Menitik air mata saya masa tu, akhirnya sampai juga saya selepas sesat semalam. Ingatkan tak berjodoh dengan Lenin Peak Base Camp. Selepas satu selekoh saya melihat hamparan tasik biru dan puncak Lenin. SubhanaAllah indah sungguh pemandangan waktu itu. Setiap lelah berbayar dengan pemandangan yang sangat memukau jiwa. saya mendirikan khemah di seberang tasik. Agak terpencil dan terlindung. Saya tidak keseorang, sewaktu saya bersantai-santai di luar khemah saya terlihat seorang trekker sedang berjalan menuju ke Lenin peak base camp. Rupanya beliau dari Israel dan hitch hike hingga ke Sary Mongol dan kemudian berjalan dari Sary Mongol ke sini. Akhirnya kami berkongsi tapak camping yang sama. Ada jugak kawan untuk saya beberapa hari ini. 






Tager berasal dari Israel, seorang engineer yang baru sahaja berhenti kerja untuk mengembara dari Kyrgyzstan ke Jepun. Sewaktu bercamping dengan beliau kami berkongsi bekalan makanan dan masak bersama. Sekali lagi stove saya mengalami masalah dan Tager penyelamat saya. Banyak yang kami bincangkan terutama tentang negara masih-masing. Ini bukanlah kali pertama saya bertemu dengan orang Israel jadi saya tidak kekok untuk berbicara dengan mereka. Bukan semua Israel itu jahat, Tager seperti manusia biasa yang saling menghormati orang lain dan lebih bersikap terbuka dengan pandangan saya.

Saya berkhemah di Lenin Peak Base Camp selama 5 malam. Apa yang saya buat sepanjang di Lenin Peak Base Camp adalah trekking ke view point, trekking ke sekitar tasik dan duduk santai di hadapan khemah sambil menghadap Lenin Peak dan membaca buku. Pengalaman ini sangat indah dan memberi ruang pada saya untuk berfikir dan berfikir. 





Sempat mandi di tasik, tapi berendam 5 minit sahaja sebab air sangat sejuk

Setelah 5 hari saya berada di Lenin Peak Base Camp akhirnya saya meninggalkan tapak camping yang indah. Menyambung semula perjalanan ke Sary Tash dan esok ke Osh. Kali ini sewaktu keluar menuju ke Sary Mongol barulah saya melihat trek yang sebenar. Memang dekat sahaja dan hanya menurun. 25km ke Sary Mongol dalam masa satu jam setengah. Keadaan cuaca sangat baik.

Sampai di Sary Mongol suasana cukup meriah dengan semua orang duduk santai di pinggir jalan. Saya singgah ke sebuah kedai makan. Menu yang ada hanya plov. Terlalu berat untuk saya jadi saya hanya meminta telur goreng dan roti nan. Di central asia jangan di harap boleh memilih makanan di kedai makan kecil seperti ini. Walaupun mereka ada list menu tapi hanya satu jenis makanan sahaja yang available. Pendek kata tak perlu pening kepala fikir nak makan apa, hanya bertanya apa yang ada sahaja.



Selesai makan saya ternampak kanak-kanak sedang makan ice cream. Teruja jadi saya bertanya di mana mereka beli ice cream. Dengan hanya 50sen saya mendapat ice cream yang rasanya cukup nikmat. Saya meneruskan kayuhan dari Sary Mongol ke Sary Tash. Waktu sedang asyik mengayuh tiba-tiba ada truck campervan berjalan perlahan di sebelah saya. Rupanya 2 orang traveller yang seorang darinya cyclist dari Taiwan. Kami berhenti dan bertukar-tukar cerita.


Jin dari Taiwan dan Simon dari poland. Simon travel dengan camprevan manakala Jin berbasikal. belaiau sudah 5 tahu berbasikal keliling dunia.

Cyclist wanita dari Taiwan yang sudah 5 tahun mengembara mengelilingi dunia. Siapa tak kenal Jin! dia berada di Osh dan side trip dengan seorang kawan ke Lenin Peak. Kami bertukar contact dan berjanji untuk jumpa di Osh nanti. Wow woman cyclist solo pertama yang saya jumpa sepanjang trip ini. Teruja! Mesti banyak cerita dan tips yang perlu saya tanya pada dia.

Di Sary Tash saya duduk di hostel yang baru itupun sebab harganya yang murah dan owner bermurah hati untuk berikan saya sebaldi air panas untuk bersihkan badan. Sudah hampir seminggu saya tak mandi, offer air panas ini sangat mewah dan terlalu berharga. Walaupun ala kadar jadilah. Lagi 2 hari saya akan sampai ke Osh dan di sana saya akan mandi sepuasnya. Itu motivasi kayuhan esok hari!

 Tempat tidur saya yang agak mewah. dapat juga merasa tidur di atas katil.

Perjalanan dari Sary Tash ke Osh sekitar 300km dan kebanyakan masa saya akan downhill. Cuma ada 2 gunung besar yang perlu saya tawan untuk sampai ke Osh. Saya bangun awal pagi dan bersarapan dengan roti dan telur goreng. Air teh panas siap-siap saya isi dalam termos untuk diminum sepanjang perjalanan nanti.

Keluar dari Sary Tash sudah mula mendaki gunung yang agak tajam juga. Sudah sampai di atas turun banyak dan kemudian mendaki lagi. Pendakian kali ke dua menuju ke Taldyk pass. Pass tertinggi untuk route Sary Tash – Osh. Mujurlah cuaca baik dan traffic agak lengang.


Sepanjang pendakian jalan agak sunyi, yang kedengaran cuma bunyi tiupan angin. Menghampiri puncak saya dapat melihat deretan gunung yang sungguh indah. Alhamdulillah setelah 2 jam akhirnya saya sampai ke Taldyk pass. Mendaki dari arah saya lebih mudah berbanding dari arah bertentangan. Sewaktu di Taldyk pass saya bertemu dengan seorang cyclist dari Taiwan yang menuju ke Pamir Highway. Seperti biasa kami bertukar info.

 hahah saya ada buat sesuatu di atas Taldyk pass. kalau nak tau tanya saya bila jumpa.

 Downhill di Taldyk Pass. puas hati sangat!



Turun dari Taldyk pass adalah perkara terbaik untuk saya pada hari itu. Tapi saya tidak boleh turun laju kerana laluan agak cerun dan sempit. Bimbang terlajak corner bertembung dengan lori pulak. Tapi pemandangan memang cukup cantik sehingga buat saya berhenti berkali-kali. Turun dari Taldyk pass laluan menyusur anak sungai yang sangat jernih. Saya semakin menurun ke kawasan rendah dan keadaan sekeliling menjadi semakin hijau. Hari ini target saya untuk sampai ke Gulcha dan sepanjang perjalanan ke sana saya melalui beberapa kampung kecil yang terletak di pinggir sungai. Kebanyakan masyarakat di kampung hidup dengan bercucuk tanam dan menternak binatang peliharaan seperti lembu, kambing dan keldai. Sangat menarik sewaktu saya memasuki ke kampung-kampung kecil ini terlihat anak-anak kecil yang baru pulang dari sekolah dan berjalan secara berkumpulan. Baju seragam mereka sangat comel dan tambah comel dengan reben putih yang besar untuk setiap pelajar perempuan.


Tak sempat nak adjust muka nampak ayu.. haha

Kanak-kanak ini sangat ramah dan sangat teruja apabila melihat saya. Mereka akan menjerit ‘tourist’ sambil menghulurkan tangan untuk bersalam atau sekadar menepuk tangan saya. Memang tak larat nak berhenti sorang-sorang sebab ramai sangat. Dan adakala bila saya berhenti dan minta untuk ambil gambar. Mereka sangat gembira dan mula berbual dengan saya dalam bahasa Kyrgyzstan. Ada antara mereka yang cuba-cuba bercakap bahasa English. Terhibur dengan gelagat mereka.

Hari semakin petang dan saya mula mencari tempat untuk mendirikan khemah. Saya ternampak satu selekoh yang masuk ke dalam sebalik bukit dan bertebing dengan sungai. Suasana agak cantik dan agak sunyi serta jauh dari jalan besar. Cuma entah kenapa bila saya berada di sana hati saya rasa tidak sedap. Dalam 30 minit saya duduk di situ dan berfikir patut ke saya bukak khemah dan bermalam di sini. Tapi akhirnya saya meninggalkan tempat itu kerana saya berasa tidak selesa.

Orang selalu tanya macam mana saya berani untuk berkhemah sendirian di tempat begini. Saya tak berani Cuma saya yakin setelah mendapatkan info dari cyclist lain. Sebelum ini saya pernah bertanya pada cyclist yang saya jumpa sama ada selamat untuk berkhemah di laluan sekian dan negara sekian dan jawapan mereka positif. Dari situ saya mendapat keyakinan dan selebihnya tawakal aje pada Tuhan.

Dalam saya mencari tiba-tiba saya terlihat route kecil menaik ke atas bukit. Saya tinggalkan basikal di bawah dan cuba riki bahagian atas bukit. “perfect!” getus saya dalam hati. Kawasan ini agak tinggi tapi tidak di lereng bukit (jadi tidak ada risiko batu jatuh menghempap) dan pemandangannya cukup cantik. insyaAllah taka da orang akan nampak saya berkemah di sini.



Saya mendirikan khemah dan kemudian menunaikan solat jamak dan qasar. Jam 7 malam suasana sudah gelap dan sunyi. Sesekali terdengar bunyi truck atau kereta yang lalu di bawah. Saya menyalakan lampu kecil sambil menyambung menulis catatan. Jam 9 malam mata saya masih segar. Untuk keluar dari khemah rasanya sangat sejuk jadi saya hanya berbungkus di dalam sleeping bag. Hendak membaca buku rasanya sudah 3 kali saya mengulang buku yang sama.

Selalunya bila sunyi dan tak ada apa nak buat saya suka membaca mesej di wassap dan telegram. Mesej lama dari group keluarga, mesej dari kawan-kawan akan say abaca berulang-ulang. Semua tu buat saya rasa happy dan terasa seolah mereka berada di sisi. Oh iya saya tidak ada sim card Kyrgyzstan dan line juga tiada jadi memang saya tidak dapat berkomunikasi dengan sesiapa.

Kadang-kadang saya membaca mesej mereka sehinggalah saya tertidur.

Bangun dari pagi saya siap-siap mengemas khemah. Awal saya bertolak sekitar jam 7 am. Hari ini saya ada big pass yang perlu di daki dan saya target untuk sampai ke Osh hari ini. Harapnya head wind tidak kuat seperti semalam. Dan selalunya head wind bermula selepas jam 2 petang.

Selepas Gulcha pendakian bermula, walaupun tidak terlalu mencanak tetapi agak panjang. Saya cuba mengalih perhatian dengan mendengar lagu-lagu dari mp3. Beberapa kali saya berhenti di kedai runcit sepanjang jalan. Menghilangkan lelah dan membeli ice cream. Haha itulah motivasi saya bila penat. Agak janggal sekali bila masuk ke kedai runcit dan terlihat ada beberapa cawan kecil di satu sudut meja yang menjual vodka. Kdang-kdang yang menjaga kedai runcit adalah remaja bawah umur dan lelaki tua tidak segan-segan meneguk vodka yang dituang oleh gadis muda. Tambah janggal apabila mereka semua adalah muslim.

Beginilah muslim di central asia, kebanyakannya minum alcohol. Saya tidak mahu judge mereka Cuma ianya agak baru bagi saya. Kata beberapa orang dari mereka, mereka minum vodka untuk memanaskan badan disebabkan cuaca sejuk di Kyrgyzstan. Saya hanya menggelengkan kepala bila di offer dengan vodka.

Beberapa km terakhir barulah terlihat big pass yang perlu saya daki, aduhai laluanya zig zag yang sungguh mengoncang jiwa. Selalunya bila stress begini saya akan tutup mp3 dan kayuh sambil bercakap dengan diri sendiri. Bila rasa penat saya akan berhenti minum air dan chocolate. Bila rasa tak larat tolak sahaja. Dalam kepala fikir selagi saya bergerak saya akan sampai ke puncak. Bezanya cepat atau lambat sahaja. Asalkan kita bergerak!
 Inilah big pass terakhir yang saya daki sebelum meluncur turun ke bawah.



Akhirnya selepas menolak basikal saya tiba di puncak. Pemandangan di atas cukup indah dengan taburan kontena yang berfungsi sebagai kedai. Ada yang beroperasi da nada yang ditinggalkan. Dari high pass ke Osh laluannya lebih mudah dan kebanyakan masa hanya turun sahaja. Alhamdulillah saya tidak mengalami head wind. Saya berkayuh dan berkayuh sehingga sedar-sedar sudah hampir 20km untuk sampai ke Osh. Waktu sudah menunjukkan jam 4 petang. Mulanya saya ingat mahu berkhemah di mana-mana sahaja tapi keadaan semakin terbuka dan agak sesak dengan rumah orang. Selain itu keadaan terasa berhabuk berbeza sungguh dengan nyamannya udara di gunung. Lalu saya teruskan sahaja kayuhan ke Osh dan sampai ke TES Guesthouse sekitar jam 530petang.

 Beberapa penduduk kampung yang menjual hasil kebun mereka di tepi jalan.

Pelajar yang baru pulang dari sekolah
Kembali pada civilization setelah lebih seminggu berada di kawasan pergunungan dan hutan. Perkara pertama yang saya buat adalah mandi dan mandi. Tak pernah rasanya saya dapat mandi dengan rasa nikmat yang macam ni. Di Tes Guesthouse saya berjumpa dengan ramai traveller yang travel dengan motorsikal, land cruiser dan juga couple cyclist dari France. Di Tes Guesthouse saya hanya berkhemah di garden mereka kerana bayaran yang lebih murah. Dan lebih menarik mereka memberikan saya free breakfast dan pilihannya sangat banyak.

 Memasuki bandar Osh.

 Traveller yang berada di TES Guesthouse, Osh

Di Kyrgyzstan saya hanya berkayuh sehingga Osh dan kemudian meninggalkan basikal saya di sini dan travel ke Bishkek dengan menaiki share taxi. Apa tujuan saya ke Bishkek? Kenapa saya sanggup meredah 10 jam perjalanan untuk sampai ke Bishkek?

20 comments :

  1. nice story vb.. serasa ikut travel juga.. 😀😀😀

    ReplyDelete
  2. Exited nak tau... cepat sambung... ☺

    ReplyDelete
  3. Best sangat ceritanya..jadi inspirasi yg cukup bermakna

    ReplyDelete
  4. Pengalaman menarik yg sukar di lupakan vb.

    ReplyDelete
  5. you seriously need to think about writing a book.. I will definitely buy it! Take care

    ReplyDelete
  6. Girl dear..teruskan mengayuh dan menulis..saya hayati setiap baris ayat dan setiap foto yang ada dengan penuh minat beserta debaran ...hati sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa melindungimu dan memakbulkan semua impianmu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. amin! terima kasih atas doanya dan jangan jeu follow blog saya. hehe

      Delete
  7. hik hik hik.... ada unsur suspen jgak. Jgn lama sgt ek, continue .... tak sabar aku.

    ReplyDelete
  8. Scary plus lawaaa...bila tgk gambar Downhill di Taldyk Pass tuu

    ReplyDelete
  9. Semakin menarik...semoga lancar semua vb...

    ReplyDelete
  10. kata2 ni paling mahai mas! "..selagi saya bergerak saya akan sampai ke puncak. Bezanya cepat atau lambat sahaja. Asalkan kita bergerak!". Go go go

    ReplyDelete
  11. awesome...membacanya seakan saya ikut bertualang....thanks VB

    ReplyDelete
  12. Hi.. sy jarang gemar membaca tapi sy seronok baca Catatan pengalaman you. Sy jg seorang yg gemar menulis catatan perjalanan.. cuma Tak serajin you... Teruskan menulis...ye..

    ReplyDelete
  13. Bahasa Melayu mirip bahasa Indonesia, tapi beda kata beda maknanya

    ReplyDelete